Tuesday, November 23, 2010

ISIPADU CECAIR

Isipadu cecair merujuk kepada kandungan atau kapasiti cecair di dalam sesuatu bekas.  Isipadu cecair dapat diukur dan disukat  dengan menggunakan penyukat yang tidak standard seperti cawan, gelas, atau botol yang pelbagai bentuk dan saiz.  Apabila unit metrik diperkenalkan, isipadu cecair telah diukur dengan menggunakan unit standard  iaitu  milimeter (ml)  dan liter (l).
 Bagi kanak-kanak yang baharu mempelajari tentang isipadu cecair secara formal di sekolah, kadangkala berlaku kesalahtanggapan di mana mereka mengganggap isipadu atau kapasiti cecair itu bergantung kepada ketinggian bekas yang menampungnya, bukan bergantung kepada luas bukaan tapak sesuatu bekas.  Persepsi ini harus diperbetulkan oleh guru yang bertanggungjawab mengajar konsep isipadu cecair  dengan mengajar mengenai jumlah muatan/kandungan dahulu sebelum mengajar  perbandingan kapasiti agar murid-murid tahap 1 ini lebih memahami.
Penggunaan bahan  bantu mengajar  amat penting dalam memberi  penerangan dan peneguhan konsep isipadu cecair.  Dengan adanya bahan bantuan, murid-murid lebih selesa untuk  melakukan  aktiviti mereka tanpa berasa bosan.  Guru pula tidak terbeban dengan tugas mengajar kerana mereka hanya akan bertindak sebagai fasilitator.  Bahan bantu mengajar  yang baik adalah bahan maujud kerana kanak-kanak kecil suka merasa dan memegang sesuatu benda yang ditunjukkan kepada mereka.   
Selain penggunaan bahan bantu mengajar, bahasa yang digunakan oleh guru juga memainkan peranan penting dalam memberi pemahaman konsep isipadu.  Bahasa yang mudah atau sering digunakan oleh kanak-kanak mampu membantu mereka menanggapi sesuatu fakta.  Penggunaan perkataan sedikit, setengah, banyak, lebih banyak dan kurang sedikit boleh digunakan oleh guru.  Bagaimanapun pemilihan penggunaan perkataan bergantung juga kepada keadaan  dan bahasa setempat. 

No comments:

Post a Comment